Welcome To Ummu Sofiah Orphanage. We need your help to move forward... Please help Us. Every donation we receive makes a difference. "Therefore, treat not the orphan with harshness" (Qur’an 93:9) http://ummusofiah.blogspot.com

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DARIPADA PELAJAR KSPK TESL, INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA KAMPUS IPOH

Tuesday, June 16, 2009



Tarikh = 28/5/2009

Program = Program Khidmat Masyarakat

Penganjur = Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh.

Kedatangan guru-guru atau pelajar-pelajar KSPK TESL dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh dengan menaiki sebuah bas disambut baik oleh kami dan pelajar-pelajar pusat jagaan. Sesi perkenalan bermula antara kakitangan pusat jagaan dengan pelajar-pelajar KSPK TESL seramai 15 0rang orang dengan diketuai oleh pengurus lawatan Cik Saravana Devi A/P Alagumalai. Sedikit taklimat kecil diberikan sebagai permulaan mengenai Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ummu Sofiah dan pelajar-pelajar di sini.

Pada pukul 3.30 petang setelah semua pelajar pusat jagaan pulang dari sekolah, aktiviti diteruskan lagi dengan pengumpulan semua yang terlibat di dewan pusat jagaan ini. Para pelajar KSPK TESL memperkenalkan diri masing-masing kepada semua yang hadir dan begitu juga pelajar-pelajar kami dari pusat jagaan ini.

Seterusnya pengajaran origami dilakukan oleh pelajar KSPK TESL kepada pelajar-pelajar kami dalam bermesra dan merapatkan diri dengan pelajar-pelajar kami. Setelah itu sedikit taklimat dan nasihat diberikan oleh pengiring pelajar KSPK TESL iaitu pensyarah mereka yang turut serta dalam program ini.
Tujuan program ini dibuat adalah supaya para pelajar KSPK TESL dapat mengaplikasikan teori behaviourism dan mempraktikkan kemahiran interpersonal dan intrapersonal yang telah dipelajari. Di samping itu, para pelajar KSPK TESL akan dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan menimba pengalaman tentang teknik mengawal emosi diri bersesuaian dengan keadaan persekitaran di Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ummu Sofiah.

Akhir sekali majlis penyampaian sumbangan dilakukan di dewan kepada penjaga pelajar-pelajar pusat jagaan ini untuk keperluan semasa pelajar-pelajar Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ummu Sofiah. Sedikit minuman petang disediakan sebelum pengakhiran program dan pelajar-pelajar KSPK TESL berangkat pulang pada pukul 5.00 petang.

Seterusnya......

BANTUAN SEGERA DIPERLUKAN

Tuesday, June 9, 2009


Segala puji bagi Allah, Pemelihara sekelian alam. Salam sejahtera kepada Tuan-tuan dan Puan-puan yang sudi mengunjungi blog ini semoga dirahmati Allah S.W.T. Dengan rasa rendah hati, pihak kami ini memohon daripada Tuan-tuan dan Puan-puan yang budiman sedikit sumbangan dan bantuan sekadar termampu supaya kami dapat membaik-pulih asrama kami yang semakin uzur.


Segala jasa baik Tuan-tuan dan Puan-puan semua hanya Allah sahajalah yang dapat membalasnya dan pihak kami akan sentiasa berdoa agar anda semua diberkati Allah Yang Maha Esa.


Diantara keperluan kami yang agak mendesak ialah:-


· Penambahbaikan bilik air


Pusat jagaan ini memerlukan sebuah bilik mandi yang luas dan selesa untuk pelajar di sini. Bilik air yang sedia ada mempunyai 5 buah tandas, 2 kolah air yang besar dan sederhana besar, 2 pemancut air dan sinki yang tidak digunakan.


Tandas yang sedia ada tidak dapat digunakan kerana tidak ada paip di dalamnya dan lubang tandas yang kotor dan pecah. Terdapat juga tandas yang tidak berpintu dan rosak kuncinya. Hanya 2 buah tandas sahaja yang boleh digunakan dan perlu menunggu giliran untuk menggunakannya. Agak payah untuk membuang air kecil dan besar di mana memerlukan kawan untuk menjaga pintu sehingga selesai menggunakannya.


Kolah air yang besar dan jarang sekali dicuci, menyebabkan tumbuhnya lumut di tepi kolah dan habuk kotor berkumpul di dasar. Bilik air ini hanya mempunyai 2 pemancut air sahaja yang mana tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Kebanyakan mereka mandi dengan menggunakan air kolah secara beramai-ramai.


Keadaan sinki yang rosak digunakan untuk mengumpul pakaian pelajar-pelajar yang basah dan berselerak di lantai. Sikap pelajar yang tidak mengendahkan pakaian mereka mengundang bau yang busuk di dalam bilik air dan ditambah pula dengan tong sampah yang penuh dan tidak dibuang isinya. Bilik air ini menjadi sesak dan sempit apabila digunakan di waktu kemuncak yang mana ada yang mandi, membasuh kain dan lain-lain.


Oleh itu bilik air perlu diperbaiki, ditambah kemudahan dan diperluaskan lagi supaya para pelajar di sini mempunyai bilik mandi yang sempurna, tandas yang sempurna, sinki, dan tempat membasuh kain yang diasingkan dengan tempat mandi.





Tambahan:


Bilik air menjadi kotor dan berbau kerana kurangnya penjagaan oleh pelajar-pelajar di sini. Mereka kurang berdisiplin dan tidak mengikut jadual tugasan yang telah ditetapkan. Mereka perlu selalu diberi tunjuk ajar tentang disiplin dan kebersihan kawasan. Mereka juga perlu dipantau selalu dalam menyiapkan tugasan-tugasan mereka dalam penjagaan bangunan dan kawasan.


Daripada pemerhatian saya, kakitangan di sini tidak mencukupi untuk selalu memantau pelajar-pelajar di sini dalam soal disiplin dan penjagaan diri. Pusat jagaan ini tidak cukup kakitangan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan, penjagaan premis dan mencantikkan kawasan iaitu pekebun. Selama ini penjagaan kawasan dan pembersihan premis dilakukan secara gotong-royong dan kerjasama antara para pelajar dan kadang kala dilakukan oleh orang luar yang datang menyumbangkan khidmat bakti sukarela dalam pembersihan kawasan sekitar.


Untuk pembersihan harian seperti pembersihan bilik air, pembuangan sampah dan sisa makanan dilakukan oleh pelajar-pelajar mengikut jadual. Oleh kerana tiada cukup kakitangan untuk memantau tugasan harian mereka dalam soal pembersihan dan disiplin, tugasan mereka tidak disempurnakan dengan betul terutama pelajar-pelajar sekolah rendah yang lebih suka melakukan hal masing-masing dan suka bermain. Teguran dan suruhan penjaga dan kakitangan lain tidak diendahkan dan hanya diikuti pada waktu itu sahaja.


Contohnya pembuangan sisa makanan di dalam tong sampah yang disediakan tidak dibuang di dalam tong sampah tetapi dibiarkan bertakung di dalam sinki sehingga tersumbat Walaupun tong sampah disediakan, sisa makanan tidak dimasukkan dengan betul ke dalam tong sampah dan sisa bertaburan di sekeliling tong sampah. Tong sampah yang penuh juga tidak dibuang dan dibersihkan sehingga berulat. Ini mengundang vector seperti lalat yang boleh membawa penyakit dan memudaratkan. Di sini jelas menunjukkan bahawa para pelajar tiada sikap bekerjasama dan lepas tangan di mana mereka masing-masing mengharapkan orang lain yang melakukannya. Kalau ada yang membersihkannya hanya pelajar-pelajar yang sama sahaja.


Penjaga dan kakitangan yang sedia ada tidak boleh untuk melihat dan menjaga perangai mereka seorang demi seorang dan memastikan setiap pelajar melakukan tugasan masing-masing pada setiap hari kerana masih mempunyai kerja lain untuk dilaksanakan dalam soal penjagaan dan pengurusan pelajar-pelajar di sini.


Berikut adalah keadaan sebenar bilik air yang tidak sempurna penjagaannya dan memerlukan perhatian untuk dibaiki:-




· Keselesaan bilik tidur


Pusat jagaan ini mempunyai 6 buah billik tidur yang berlainan saiz. 3 buah bilik berada di tingkat atas dan 3 buah lagi di tingkat bawah. Bilik tidur mereka tidak sempurna dan banyak kekurangan dari segi keperluan dan keselesaan mereka untuk belajar dan tidur. Keadaan bilik tidur yang tidak sempurna memberi kesan kepada kehidupan mereka seharian.


Keadaan di bilik tidur mereka perlu diperbaiki untuk keselesaan mereka terutama di bahagian siling yang pecah dan bocor dan tingkap yang pecah. Keadaan tingkap bilik mereka yang tidak bercermin dan berlangsir menyusahkan mereka terutama apabila hujan dimana tempias air hujan mengenai katil mereka dan menjadi basah.


Bilik masing-masing kekurangan perabot seperti almari pakaian, meja belajar, tempat sangkut pakaian, almari cermin, rak buku dan lain-lain. Almari yang digunakan kebanyakannya sudah rosak dan tiada pintu. Mereka juga terpaksa berkongsi almari untuk menyimpan pakaian, buku-buku dan barangan peribadi. Ini menyukarkan mereka apabila kehilangan dan kerosakan barangan peribadi kerana tempat penyimpanan yang terhad.


Setiap orang memerlukan ruangan yang cukup untuk diri mereka dan barangan mereka. Mereka langsung tidak ada meja belajar di dalam bilik mereka untuk mereka belajar sendiri dan mengulang kaji pelajaran kerana ruangan yang bilik yang terhad. Barangan makanan seperti beras juga diletakkan di dalam bilik mereka kerana ruang penyimpanan barangan makanan juga tidak mencukupi.


Baju-baju mereka banyak tersangkut pada dinding-dinding menggunakan batang kayu atau tali yang diikat sendiri untuk dijadikan tempat sangkut pakaian. Ini menyebabkan keadaan bilik mereka berselerak dan tidak kemas dengan baju-baju yang bersangkutan di merata tempat.


Terdapat juga bilik-bilik yang tidak mempunyai lampu dan kipas yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengudaraaan. Kipas yang sedia ada sudah lama digunakan dan tidak memberi pengudaraan yang cukup di mana ia berpusing dengan perlahan walaupun sudah maksimum dibuka. Pelajar-pelajar mengadu panas dan terpaksa mengipaskan diri secara manual terutama di waktu tengahari.


Pengumpulan tilam, rangka katil dan perabot-perabot lain yang sudah rosak di suatu sudut di dalam beberapa buah bilik merosakkan pemandangan dan suasana bilik mereka yang mana ia menyempitkan lagi ruangan bilik mereka. Banyak perabot dan barangan lain yang tidak digunakan tersimpan di bilik mereka dalam keadaan yang berselerak dan tidak terurus.


Tangga ke tingkat atas diperbuat daripada kayu sudah bergoyang dan rosak sedikit kerana sudah lama digunakan. Ianya perlu diperbaiki untuk keselamatan para pelajar untuk turun dan naik tangga tersebut. Lantai bilik mereka di tingkat atas yang diperbuat daripada kayu juga mengalami sedikit kerosakan dan ada sebahagiannya tidak dilapik atau dialas dengan tikar getah.

Di suatu sudut dinding bilik mereka berlubang yang agak besar dan dinding mereka tidak ditampal dengan sempurna.


Berikut adalah gambar-gambar bilik mereka yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki untuk keperluan dan keselesaan pelajar-pelajar di sini untuk tinggal dan belajar dengan selesa dan sempurna.




· Lain-lain (luar bangunan)


Ø Keadaan sesetengah dinding yang tidak sempurna pembinaannya. Dinding-dinding bangunan yang tidak ditampal dan dicat dengan sempurna.


Ø Tempat sidai kain yang hampir runtuh memerlukan tempat yang sesuai dan sempurna untuk penjemuran pakaian.


Ø Keadaan belakang asrama yang berselerak dengan pelbagai barangan lama yang masih boleh digunapakai dan tidak boleh digunakan lagi dikumpulkan dan disimpan secara tidak teratur di belakang asrama ini.

Ø Perlu dibina sebuah stor lain atau mengemaskan stor yang sedia ada dan mengasingkannya mengikut kategori untuk kemudahan pencarian dan penggunaan semula. Contohnya stor makanan, stor barangan lama, stor sumbangan dan lain-lain.


Ø Perlu tempat pembuangan sampah yang sempurna.


PENUTUP


Kesemua perkara yang dinyatakan di atas perlulah mendapat perhatian secepat yang mungkin daripada pihak-pihak yang berkaitan dan dilaksanakan untuk kemudahan dan keselesaan pelajar-pelajar di sini sekaligus menarik pelajar yang lain untuk datang dan tinggal di sini. Pengumpulan pelajar di kalangan anak yatim dan yatim piatu akan memudahkan urusan pihak kebajikan dan penjaga untuk membela kehidupan anak-anak yatim ini yang kita sendiri sedia maklum kekurangan kasih sayang dan miskin untuk menampung hidup dan pelajaran mereka.


Kita bertanggungjawab untuk membela nasib anak-anak ini supaya tidak ketinggalan dalam kehidupan sendiri dan menjadi insan yang berguna dalam keluarga, agama, bangsa dan Negara. Jika golongan ini dibiarkan lama kelamaan menjadi banyak dan memberi kesan kepada Negara sekaligus menjatuhkan ekonomi dan imej Negara sebagai Negara Islam.


Sama-samalah kita berusaha dan bekerjasama untuk membantu golongan anak-anak yatim ini supaya hidup mereka terbela dan menjadi insan yang berguna. Kita berusaha untuk memberi kebajikan, pendidikan, dan tempat tinggal yang sempurna kepada mereka supaya mereka dapat menikmati dan merasai keselesaan hidup seperti orang lain dan mendidik mereka berdikari dan tahu hala tuju masing-masing apabila mereka dewasa kelak.

Seterusnya......